ad

Murid maut terjatuh dalam saluran kumbahan kes kemalangan

1 Nov 2025, 2:28 PM
Murid maut terjatuh dalam saluran kumbahan kes kemalangan

SEREMBAN, 1 NOV: Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung kejadian seorang murid maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, pada 27 September lalu, dengan kes diklasfikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) setakat ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata siasatan terperinci mendapati insiden itu merupakan kemalangan dan tiada unsur jenayah atau penglibatan mana-mana pihak dikesan.

“Sebelum ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Siasatan kemudian diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum ia dikategorikan sebagai NFA.

“Daripada siasatan, kami berpuas hati bahawa kes itu adalah satu kemalangan,” katanya di sini hari ini.

Pada 27 September lalu, seorang murid Tahun Tiga dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan.

- BERNAMA