KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard sehingga menyebabkan seorang murid tahun tiga maut akibat terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, pagi tadi.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan tiada sebarang kompromi terhadap aspek melibatkan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan.
Beliau berkata semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan pejabat pendidikan negeri perlu bertanggungjawab memastikan fasiliti di institusi pendidikan berada dalam keadaan selamat.
"Kejadian itu sangat mendukacitakan dan sekolah perlu menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke lubang pembetung di kawasan sebuah sekolah, pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 11 pagi tadi.
- BERNAMA