ad

Sembilan individu dirakam keterangan kes murid terjatuh saluran kumbahan

29 Sep 2025, 2:16 AM
Sembilan individu dirakam keterangan kes murid terjatuh saluran kumbahan

SEREMBAN, 29 SEPT: Polis sudah mengambil keterangan sembilan individu setakat ini berhubung tragedi seorang murid terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai dua hari lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata mereka yang dirakam keterangan termasuk pengadu kes, guru dan murid sekolah terbabit.

“Kita akan rakam empat keterangan lagi hari ini membabitkan pihak Jabatan Kerja Raya, Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan,” katanya di sini hari ini.

Beliau juga berkata semakan mendapati tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

Sabtu lalu, murid tahun tiga Abdul Fatah Khairol Rizal meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan dan semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat secara terperinci tragedi itu.

Beliau berkata laporan lengkap hasil siasatan akan dikemukakan segera untuk tindakan lanjut sekali gus bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

- BERNAMA