KUALA LUMPUR, 1 NOV: Polis memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan kanak-kanak perempuan, V Kangadevi yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Pangsapuri Vista Lavender, Seksyen 3, Taman Kinrara, Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata kanak-kanak berusia 12 tahun itu mempunyai ciri fizikal kulit gelap, rambut panjang hitam dan ketinggian 145 sentimeter.
"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kanak-kanak itu untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Insp M Sivanantha di talian 03-80762222," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan, Muhamad Farid berkata pihaknya juga sedang mengesan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun, Mohammad Iskandar Zulkarnain Abdullah yang dilaporkan hilang sejak keluar dari rumahnya di Bandar Puchong Jaya, Puchong, Selangor, Khamis lalu.
Beliau berkata Mohammad Iskandar Zulkarnain mempunyai ciri fizikal kulit cerah, rambut pendek berwarna hitam, ketinggian 162 sentimeter dan bertubuh kurus.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan remaja itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Insp Muhammad Yusof Hasan Ganny di talian 03-80762222,” katanya.
- BERNAMA




