ad

Pembakaran terbuka dipercayai punca kebakaran hutan di Salak Tinggi

1 Nov 2025, 8:30 AM
Pembakaran terbuka dipercayai punca kebakaran hutan di Salak Tinggi
Pembakaran terbuka dipercayai punca kebakaran hutan di Salak Tinggi

SHAH ALAM, 1 NOV: Kebakaran hutan seluas kira-kira enam hektar yang berlaku di Salak Tinggi, semalam dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.32 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, Sepang, Dengkil dan Cyberjaya bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat.

“Kebakaran bermula di kawasan hutan di lereng bukit sebelum merebak dengan cepat akibat tiupan angin kencang, melibatkan kawasan seluas kira-kira 15 ekar (enam hektar).

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurut Nor Hisham, operasi pemadaman dijalankan sepanjang malam sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya 5 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati punca kebakaran dipercayai akibat pembakaran terbuka.

“Bomba menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti itu terutamanya di kawasan belukar atau hutan kerana boleh mengundang kebakaran besar,” katanya.