SHAH ALAM, 1 NOV: Semua pihak diminta bertenang dan jangan mempolitikkan isu pencerobohan tanah kubur milik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di daerah Petaling, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah.
“Pihak-pihak yang terlibat disarankan untuk terus bertenang, tidak mempolitikkan isu ini ataupun memainkan isu ini sebagai isu perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan kaum dalam masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau turut menegaskan yang tindakan penguatkuasaan tetap akan dilaksana walaupun ia akan mengambil masa kerana memerlukan penelitian mendalam.
“Tindakan penguatkuatkuasaan akan tetap dilaksanakan, namun, ianya akan mengambil sedikit masa kerana urusan-urusan tanah pada tapak baru memerlukan masa untuk diteliti dan diselesaikan secara sah,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan isu pencerobohan melibatkan tanah kubur milikan Jais di PJS4 Lot 76029, di daerah Petaling yang melibatkan pembinaan struktur rumah ibadat bukan Islam iaitu sebuah Gurdwara dan 2 buah kuil.
Pihak Jais telah melaporkan pencerobohan itu kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling agar tindakan penguatkuasaan yang wajar berlandaskan undang-undang segera di ambil.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata MBPJ sedang meneliti beberapa cadangan tapak baru dengan syarat-syarat tertentu.
“Tapak baru ini haruslah berada di atas tanah yang telah diwartakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam secara sah dengan keluasan tanah yang munasabah.
“Tapak baru ini haruslah berada dalam jarak yang sesuai untuk dilawati oleh para pengunjung sedia ada,” katanya.
Jelasnya lagi, kos perobohan struktur lama, pemindahan dan pembangunan struktur di tapak baru juga akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Gurdwara dan kuil kerana mereka sudah memperakui bahawa struktur-struktur itu dibina secara tidak sah.




