Selangor teliti teknologi Bavaria tangani isu lambakan sampah

17 Mei 2026, 9:00 AM
Selangor teliti teknologi Bavaria tangani isu lambakan sampah
Selangor teliti teknologi Bavaria tangani isu lambakan sampah

SHAH ALAM, 17 MEI: Selangor sedang meneliti penggunaan teknologi dan sistem pengurusan sisa pepejal seperti diamalkan di Bavaria, Jerman bagi mengurangkan lambakan sampah serta kebergantungan terhadap tapak pelupusan.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah itu dipertimbangkan selepas Kerajaan Negeri melihat sendiri keberkesanan sistem pengurusan sisa moden tersebut ketika menghadiri Persidangan Innovative Thinking, Innovative Technologies and Innovative Solutions in Environmental Technology (IFAT) 2026 di Munich, Jerman baru-baru ini.

Menurutnya, lawatan itu turut memberi pendedahan mengenai kaedah pengurusan sisa pepejal yang berjaya mengurangkan jumlah sampah dilupuskan walaupun berlaku peningkatan populasi sejak lebih 20 tahun lalu.

“Lawatan saya ke Munich, Jerman tempoh hari adalah untuk menghadiri persidangan IFAT iaitu satu platform pameran teknologi pengurusan perbandaran yang memberi fokus kepada penjagaan alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal.

“Sepanjang program selama empat hari itu, kami diberi pendedahan oleh kerajaan Bavaria mengenai bagaimana mereka melaksanakan sistem pengurusan sisa selama lebih 20 tahun sehingga berjaya mengurangkan jumlah sampah walaupun berlaku pertambahan penduduk,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkesempatan melihat sendiri keberkesanan sistem pengurusan sisa moden di Bavaria, Jerman baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Liqa’ Mahabbah Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daerah Petaling di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Dr Mohammad Fahmi menjelaskan antara pendekatan dilaksanakan termasuk pengasingan sampah menggunakan empat jenis tong di setiap rumah, kutipan khas sisa elektronik serta pemprosesan semula sisa plastik dan besi di lebih 3,500 pusat pemprosesan sisa pepejal bagi menampung kira-kira 12 juta penduduk.

Tambahnya, ketika ini terdapat kira-kira 190 tapak pelupusan di Bavaria namun semua bahan yang dihantar ke tapak pelupusan itu diproses terlebih dahulu dan bukannya sisa mentah terus dari rumah.

“Jadi di sana mereka tidak hantar sisa domestik mentah terus ke tapak pelupusan seperti yang masih berlaku di Selangor ketika ini.

“Insya-Allah, melihat kepada kecanggihan teknologi itu kita cadang mahu mengusul kepada Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan di sini supaya Selangor dapat menjadi seperti yang telah berlaku di Bavaria,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.