ad

Tempoh sah visa umrah dipendekkan kepada sebulan mulai minggu depan

1 Nov 2025, 12:30 AM
Tempoh sah visa umrah dipendekkan kepada sebulan mulai minggu depan
Tempoh sah visa umrah dipendekkan kepada sebulan mulai minggu depan

RIYADH, 1 NOV: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan pengurangan tempoh sah laku visa umrah daripada tiga bulan kepada sebulan dari tarikh dikeluarkan, berkuat kuasa minggu depan.

Bagaimanapun, menurut laporan Al-Arabiya yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah, tempoh tinggal jemaah selepas memasuki negara itu masih kekal tiga bulan seperti sebelum ini.

Langkah tersebut diambil susulan jumlah permohonan visa umrah yang mencatatkan lebih empat juta sejak musim baharu ibadah itu bermula awal Jun lalu.

Jumlah tersebut menjadikan musim umrah kali ini sebagai yang tertinggi direkodkan dalam tempoh lima bulan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kementerian Haji dan Umrah turut memaklumkan pelaksanaan peraturan baharu termasuk pembatalan visa jika jemaah gagal mendaftar masuk ke Arab Saudi dalam tempoh 30 hari selepas tarikh visa dikeluarkan.

“Visa akan dibatalkan secara automatik selepas 30 hari sekiranya pemegangnya tidak mendaftar untuk memasuki Arab Saudi,” jelas sumber terbabit.

Perubahan itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian dalam mengurus peningkatan ketara jumlah jemaah yang dijangka berlaku selepas musim panas berakhir dan cuaca mulai sejuk di Makkah serta Madinah.

Penasihat Jawatankuasa Kebangsaan Umrah dan Ziarah, Ahmed Bajaeifer, menyifatkan peraturan baharu itu sebagai strategi penting bagi mengelak kesesakan luar biasa di dua kota suci tersebut.

"Langkah ini diambil untuk memastikan kelancaran pergerakan jemaah dan keselesaan mereka sepanjang tempoh beribadah," ujarnya lagi.

Penambahbaikan dasar visa ini juga dilihat seiring matlamat kerajaan Arab Saudi memperkemas sistem pengurusan ibadah umrah secara digital dan lebih sistematik menjelang fasa kemuncak ibadah umrah dan haji. - Saudi Gazette