JERLUN, 31 OKT: Seorang lelaki maut dengan kepalanya terputus akibat ditetak adik ipar sendiri dalam kejadian di Kampung Pida 3, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 7.05 malam tadi, mengenai insiden pergaduhan antara dua lelaki.
“Apabila tiba di tempat kejadian, polis telah menahan suspek berusia 38 tahun di rumahnya dan merampas sebilah parang berukuran 30 sentimeter. Hasil pemeriksaan di tempat kejadian ditemukan satu mayat dalam keadaan terlentang di dalam kawasan sawah padi.
“Sebelum ditahan, suspek yang pada ketika itu masih memegang parang tersebut, cuba menyerang polis tetapi selepas dipujuk selama 15 minit, suspek akhirnya menyerah diri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Mohd Radzi berkata selain putus leher, mangsa yang juga seorang petani berusia 45 tahun turut mengalami kesan kecederaan tetakan pada bahagian lain badan.
Beliau berkata jarak rumah suspek dengan tempat kejadian kira-kira 30 meter, sementara rumah mangsa terletak di belakang rumah suspek.
“Kedua-dua mangsa dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan punca kejadian masih dalam siasatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman hari ini,” katanya.




