Oleh Nimoiz T.Y
DENGAN tidak semena-mena, engkau tiba-tiba bertukar menjadi seekor biawak. Leher, pipi, badan, telinga, kaki, dada, kepala, jari, kuku; semua bertukar menjadi biawak. Sisik kasar menutupi tubuh. Kulit engkau menggerutu. Lidah bercabang sesekali terjulur dari mulut. Engkau merangkak masuk ke dalam bilik air, menatap cermin. Paling engkau terkesan, kini engkau memiliki ekor panjang. Selain lidah bercabang.
Sah, engkau kini memang seekor biawak. Bukan lagi manusia.
Di depan cermin, engkau menangis sepuas-puasnya. Kali ini, bukan tangisan manusia biasa. Tapi tangisan seekor biawak.
Engkau menyesal. Buntu. Entah sumpahan apa yang terjadi. Entah mimpi atau realiti. Engkau meraba-raba pipi dengan kuku tajam. Sakit. Engkau kini memang seekor biawak.
Engkau keluar sekejap. Membuka komputer susah payah dengan kuku biawak. Kemudian mencari maklumat tentang biawak. Sekarang, barulah tahu yang engkau kini merupakan reptilia dalam genus varanus. Cuma tidak tahu spesies biawak apa. Bengal Monitor, Nile Monitor, Perentie, Varanus Salvadorii, Asian Water Monitor atau Komodo Dragon.
Pagi itu, udara kota raya berkeriuk meniup vila agam engkau yang besar.
Kesemua lima orang pembantu rumah masih tidur. Angin pagi menyelinap masuk dari tingkap yang terbuka, membawa bunyi jauh hon kereta dan lolongan anjing di jalanan.
Semilir meniup lembut wajah engkau yang kini bersisik tebal macam biawak.
“Tapi ingat, jampi ini akan kembali kepada Datuk jika langgar pantang. Pantang utama, berbohong.”
Engkau terduduk di sofa import Itali. Merenung masa depan yang gelap. Merenung wajah biawak yang terpampang dalam bayangan cermin jendela. Tangan yang dulunya mencengkam kuasa kini berubah menjadi kaki bercakar.
“Datuk, kita ada masalah dengan ahli akar umbi,” Tuan Akhbar datang ke pejabat pada suatu hari dengan tergesa-gesa. Ada resah bersarang dalam kepala setiausaha politik engkau itu.
Tuan Akhbar adalah setiausaha politik yang paling engkau percaya. Apa sahaja kata Tuan Akhbar, engkau akan ikut. Dari hal kecil melibatkan hendak makan di mana. Sehingga hal besar kontrak berjuta-juta.
Suatu hari, berlaku cubaan merampas kuasa. Ketika itulah Tuan Akhbar mencadang engkau berjumpa seorang dukun yang membantu membuatkan sesiapa tunduk. Orang pandang akan rasa hormat.
Sebagai pemimpin, engkau perlukan hal-hal begini. Dan di situlah bermulanya hal tahyul yang tidak pernah muncul dalam hidup.
Sejak itu, pengikut bertambah ramai. Pidato engkau semakin berapi-api. Di mana-mana, orang akan hormat. Engkau kini merasa semua orang dalam genggaman. Engkau semakin gembira.
Berkali-kali engkau berterima kasih kepada Tuan Akhbar. Malah, engkau kini sudah menaikkan gaji Tuan Akhbar.
Tanpa engkau sedar, semua ini menjerat diri. Engkau sudah lupa pantang larang.
Sedang kenangan menerawang dalam kepala biawak engkau yang panjang, azan subuh berkumandang dari masjid. Pagi itu, engkau dilanda keinsafan. Mahu ke masjid.
Engkau cuba bangun.
Merangkak ke tandas mengambil wuduk. Namun ketika menatap cermin, engkau terdiam lagi. Wajah biawak masih di situ.
“Bagaimana mahu ke masjid dengan tubuh begini?” Hati engkau tiba-tiba terfikir. Adakah engkau memang benar-benar berubah menjadi biawak? Atau itu cuma bayangan?
Engkau dilanda gelisah. Kaki engkau menghentam singki. Pecah berderai. Engkau menempik. Menyondol pintu kaca sehingga retak.
Benar, semua sudah berubah menjadi biawak. Leher, pipi, badan, telinga, kaki, dada, kepala, jari dan kuku. Semuanya. Hanya suara engkau sahaja masih manusia.
Sekali lagi, engkau menangis sekuat hati. Sehingga tiba-tiba pintu bilik diketuk berkali-kali.
“Datuk, kenapa?” Salah seorang pembantu rumah datang dengan cemas.
“Tidak ada apa-apa. Tak perlu masuk.” Engkau cuba menyembunyikan sesuatu. Tidak mahu rahsia engkau bertukar menjadi biawak diketahui. Mana mahu letak muka kalau semua orang tahu?
Oh ya, isteri engkau ke luar negara. Mesyuarat perkumpulan wanita. Hanya engkau di rumah. Bersama pembantu yang masih belum tahu apa-apa. Masing-masing belum tahu yang engkau sudah berubah menjadi biawak.
Ilham datang tiba-tiba. Engkau mencapai telefon dengan jari kasar.
“Arahkan semua pembantu bercuti mulai hari ini. Boleh cuti sehingga diberitahu kelak. Jangan risau, gaji tetap jalan!” Arah engkau. Tegas.
Kemudian masa pun berlalu dengan pantas. Sudah tiga hari engkau menjadi biawak. Mujurlah semua orang telah engkau beri cuti. Mujurlah tidak ada sesiapa tahu yang engkau sudah menjadi biawak.
Seiring dengan perkembangan waktu, engkau kini sudah terbiasa dengan tubuh bersisik dan lidah bercabang. Engkau bergerak senyap di villa tiga tingkat itu. Meneruskan hari dengan susah payah sebagai biawak.
Tapi entah macam mana, Tuan Akhbar datang tanpa memberitahu. Engkau terkejut. Mata biawak engkau menatap tepat ke mata Tuan Akhbar. Dengan tidak semena-mena terpancut perkataan, “Buat apa di sini?” Tuan Akhbar pula terkejut kerana masih kenal dengan suara engkau yang tiba-tiba bertanya.
“Apa sudah jadi, Dato?”
Tanpa berlengah, engkau merangkak lari. Melompat melalui tingkap dan masuk ke dalam hutan kecil di belakang rumah. Engkau berlari laju sehingga tidak sempat dikejar. Masakan tidak laju, engkau kini seekor biawak. Bukan lagi manusia biasa. Mujurlah engkau lari ke dalam hutan yang ada rumah dusun. Yang lengkap dengan segala kemudahan.
Malam. Engkau menonton berita di televisyen.
Berita mula mempersoalkan ke mana hilangnya engkau. Tiada sidang akhbar dan kenyataan rasmi. Pengikut akar umbi masih tertanya-tanya.
Dalam televisyen, engkau menatap wajah Tuan Akhbar sedang memberi komentar. Mujurlah Tuan Akhbar tidak mendedahkan yang engkau kini sudah berubah menjadi biawak. Kalau beritahu kepada media pun, siapa akan percaya? Masih adakah orang bertukar menjadi biawak dalam konteks zaman AI seperti sekarang? Entah-entah Tuan Akhbar pun akan dituduh gila.
Namun engkau kini tidak peduli. Yang engkau harapkan kini akan kembali menjadi manusia semula. Dalam sunyi, engkau mula menikmati kesendirian. Menonton dokumentari alam liar. Tentang biawak komodo.
Di situ, engkau menangis lagi. Namun, tiada siapa mendengar. Sepanjang bertukar menjadi biawak, inilah tangisan engkau yang benar-benar insaf. Cuma kali ini, bukan lagi tangisan seorang manusia biasa. Tapi tangisan seekor biawak.
Engkau terus juga menangis sampil menjelirkan lidah bercabang yang sesekali terjulur dari mulut.




