SHAH ALAM, 3 NOV: Lembaga Peperiksaan (LP) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 seperti tular di media sosial.
Dalam kenyataan hari ini, LP memaklumkan hasil penelitian mendapati maklumat yang tersebar hanya senarai tema umum dan ramalan berdasarkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
Menurutnya, persamaan tema atau kata kunci dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak membuktikan berlaku kebocoran soalan kerana sesuatu tema boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk soalan, situasi dan tugasan.
"Lembaga Peperiksaan menegaskan penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan mematuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.
Sehubungan itu, LP mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Calon SPM 2026 juga dinasihatkan supaya kekal tenang dan memberikan tumpuan kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.
"Lembaga Peperiksaan kekal komited untuk memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti peperiksaan SPM 2026 sentiasa terpelihara demi menjamin keadilan kepada semua calon," katanya.







