ad

"Kepada pembunuh yang masih bebas, semoga dibinasa dunia akhirat" - ibu Zayn Rayyan

31 Okt 2025, 8:11 AM
"Kepada pembunuh yang masih bebas, semoga dibinasa dunia akhirat" - ibu Zayn Rayyan

SHAH ALAM, 31 OKT: Akaun Instagram ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf memuat naik hantaran baharu, selepas wanita itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Menerusi perkongsian terbaru di IG Story kira-kira dua jam lepas, pengendali akaun itu mendakwa keluarga mereka menjadi mangsa kepada ketidakadilan undang-undang.

"Saya mendoakan semua yang terlibat dalam penganiayaan termasuk yang memfitnah kami akan dilaknat Allah.

"Kepada pembunuh anak saya yang masih bebas di luar sana, semoga dibinasakan Allah dunia dan akhirat.

"Ini adalah penindasan terhadap rakyat marhaen. Kami adalah mangsa ketidakadilan undang-undang," tulisnya, hari ini.

Mesej sama turut dikongsikan di hantaran terbaru di akaun terbabit.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira, 30, selepas tertuduh didapati bersalah mengabaikan anak lelakinya, Allahyarham Zayn Rayyan dua tahun lalu.

Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan hukuman penjara itu, bermula dari tarikh sabitan.

Syahliza turut menolak permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan untuk menangguhkan hukuman sementara memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ismanira kemudiannya dibawa serta-merta ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.