SHAH ALAM, 31 OKT: Masyarakat khususnya rakyat Selangor diseru merebut peluang terlibat secara aktif dalam penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang bakal berlangsung di negeri ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berkata penganjuran temasya sukan berprestij itu bukan saja menjadi kebanggaan Selangor sebagai tuan rumah, tetapi peluang terbaik untuk seluruh komuniti bersama menjayakan acara nasional itu.
“Kali terakhir kita laksanakan adalah pada 1990-an. Ini adalah satu-satunya sukan hebat yang akan dianjurkan. Kita teruja sebagai tuan rumah. Di Selangor kita boleh libatkan seluruh komuniti daripada masyarakat hingga pelajar sekolah untuk terlibat sama.
“Jadi ambillah peluang turut serta sebagai sukarelawan, penonton atau bagi pelajar yang mahu terlibat sebagai ultras. Ini semua sebenarnya satu peluang yang jarang-jarang berlaku. Ambillah ruang itu. Saya harap komuniti bekerjasama,” katanya.
Menurutnya, selain aspek sosial, penganjuran SUKMA 2026 juga dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negeri, khususnya kepada peniaga dan usahawan tempatan di kawasan sekitar lokasi acara.

“Pastinya ia juga akan merancakkan ekonomi kita baik daripada peniaga atau sekitar kawasan penganjuran acara. Bola sepak misalnya di sekitar stadium. Jadi ambillah peluang ini yang juga boleh menjana ekonomi kita semua,” katanya.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.
Sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.






