SHAH ALAM, 31 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus memperkukuh kedudukan sebagai antara pihak berkuasa tempatan (PBT) paling progresif dengan memperkenalkan inovasi teknologi sistem kamera litar tertutup (CCTV) canggih dikenali sebagai IRIS.
Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata teknologi yang mengadaptasi penggunaan tenaga solar itu dapat menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya yang lebih selamat, lestari dan efisien sejajar dengan keperluan keselamatan semasa.
“Dengan teknologi ini, kami dapat meningkatkan tahap kawalan keselamatan di kawasan bandar raya, terutama lokasi berisiko tinggi dan penggunaan tenaga solar adalah selaras dengan dasar MBSA ke arah bandar hijau dan rendah karbon.
“IRIS bukan sahaja menjimatkan tenaga tetapi turut memperluas keupayaan pemantauan keselamatan di kawasan yang tidak mempunyai sumber elektrik,” katanya ditemui pada Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor 2025 di sini semalam.
Majlis yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari itu turut dihadiri EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Mohd Fauzi berkata penggunaan tenaga solar bagi sistem pemantauan keselamatan itu memberi nilai tambah besar kepada masyarakat kerana mampu berfungsi di kawasan terpencil, selain menyokong agenda bandar hijau yang diperjuangkan MBSA.
Beliau berkata MBSA sedang merancang untuk memperluaskan penggunaan IRIS ke seluruh kawasan pentadbirannya menjelang tahun hadapan, sebagai langkah menuju penggunaan tenaga boleh baharu sepenuhnya dalam operasi pemantauan bandar.
“MBSA akan menumpukan usaha ke arah 'Smart City Shah Alam' dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem keselamatan dan pengurusan trafik bandar.
“AI akan membantu mengesan aktiviti mencurigakan serta mengawal aliran trafik dengan lebih efisien tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kehadiran anggota di lapangan,” jelasnya.
Mohd Fauzi berkata sistem berasaskan AI itu dibangunkan secara berperingkat sejak empat tahun lalu dan kini sedang diuji untuk memperkukuh pemantauan keselamatan awam termasuk pengurusan bencana seperti banjir.
Beliau berkata teknologi pemantauan bersepadu itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan tindak balas MBSA terhadap insiden, malah menjimatkan kos operasi apabila pegawai tidak perlu turun ke lapangan secara fizikal setiap masa.
“Inovasi ini dapat membantu kami memantau kawasan berisiko banjir dengan lebih cepat dan tepat. Apabila sistem mengesan peningkatan paras air, amaran awal boleh dihantar serta-merta kepada penduduk dan pasukan bertugas.
“Ini mempercepatkan proses pengesanan, pengurusan aduan dan penyaluran maklumat kepada penduduk. IRIS dan sistem AI ini benar-benar memberi impak kepada usaha menjadikan Shah Alam bandar selamat dan efisien,” katanya.
Terdahulu, IRIS dinobatkan sebagai johan bagi kategori Inovasi Sosial dan Projek Inovasi Terbaik pada majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (MPIPANS) 2025 yang disampaikan Amirudin.
- BERNAMA








