ad

Produk JER tawar penjimatan hingga 50 peratus, lima juta rakyat nikmati manfaat

31 Okt 2025, 12:01 AM
Produk JER tawar penjimatan hingga 50 peratus, lima juta rakyat nikmati manfaat
Produk JER tawar penjimatan hingga 50 peratus, lima juta rakyat nikmati manfaat
Produk JER tawar penjimatan hingga 50 peratus, lima juta rakyat nikmati manfaat
Produk JER tawar penjimatan hingga 50 peratus, lima juta rakyat nikmati manfaat
Produk JER tawar penjimatan hingga 50 peratus, lima juta rakyat nikmati manfaat

SHAH ALAM, 31 OKT: Sambutan menggalakkan terhadap Jualan Ehsan Rahmah (JER) mendorong Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus menambah baik program berkenaan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan asas pada harga rendah.

Bermula 2022, projek dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan RM12 juta terus berkembang bukan sahaja dari aspek peruntukan sebaliknya lokasi serta penambahan produk.

Menjual enam produk utama iaitu ayam, ikan, daging, beras, minyak dan telur pada peringkat awal, barangan JER setakat ini bertambah kepada 12 produk keperluan asas mulai tahun ini dan tidak hanya melibatkan makanan.

Ketua pegawai operasi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd berkata ia berikutan permintaan tinggi penduduk yang mahu lebih banyak barangan keperluan harian dijual sekali gus memudahkan pembelian.

“Selepas tiga tahun, penduduk mahu produk ini ditambah. Kita tambah bihun, tepung, sardin, biskut selain lampin bayi pakai buang dan sabun pencuci. Ini antara usaha kita penuhi permintaan mereka sebab ada yang minta bihun, ada yang nak sardin.

Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd Rosnani Abdul Malek ketika ditemubual Media Selangor di Wisma PKPS, Shah Alam pada 2 Oktober 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Jadi kita bincang dengan KPDN dan Kerajaan Negeri. Sebab mereka ini yang beri subsidi. Kita tambah produk lain supaya keperluan penduduk dapat dipenuhi,” kata Rosnani Abdul Malek kepada Media Selangor.

Penganjuran JER ditambah

PKPS juga turut menambah lagi lokasi penganjuran di setiap semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan memastikan penduduk kerap mendapat manfaat seterusnya meringankan beban belanja dapur.

Menurut Rosnani, sebelum ini setiap DUN hanya dijadualkan menerima penganjuran dua kali sebulan namun bermula September lalu, ia bertambah kepada tiga kali.

“Ini sememangnya dinantikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Bukan hanya mampu menjimatkan belanja dapur tetapi turut mendapat barangan yang berkualiti.

“Langkah ini juga menjadi alternatif dan akses untuk penduduk mendapatkan barangan berkualiti pada harga rendah dengan lebih mudah," katanya.

Orang ramai memilih barangan di program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sentosa di Jalan Dato Dagang 39, Klang pada 13 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Setakat September, jualan yang diperkenal sebagai langkah intervensi ketika negara berdepan masalah kos sara hidup tinggi susulan penularan pandemik Covid-19, sudah dianjur di lebih 4,000 lokasi meliputi seluruh pelosok negeri.

“Kalau kita anggarkan satu lokasi dalam 300 yang hadir dan setiap isi rumah empat orang. Jadi anggaran sudah lebih lima juta terima manfaat,” katanya.

Penjimatan hampir 50 peratus

Sepanjang tiga tahun dianjur, program hasil cetusan idea Dato’ Menteri Besar itu telah memanfaatkan jutaan rakyat negeri ini apabila mendapat penjimatan antara 30 peratus hingga hampir 50 peratus setiap kali berbelanja.

Harga berkenaan jauh lebih rendah berbanding pasaran berikutan program ini memang menyasarkan keluarga berpendapatan rendah dan kurang mampu.

Orang ramai membeli barangan Jualan Ehsan Rahmah ketika majlis Pembukaan Cawangan Ehsan Segi Fresh Batu Laut, di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 30 November 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Bayangkan kita jual minyak botol lima kilogram pada harga RM25 sahaja, berbanding pasaran yang lebih tinggi. Banyak potongan kita berikan. Sama juga macam ayam. Dekat pasaran jual RM10 sekilogram.

“Kalau dua kilogram, dah RM20. JER jual seekor RM10. Berat pun antara 1.5 kg hingga dua kilogram seekor. Hampir 50 peratus diskaun kita beri jadi memang menjimatkan. Semua barangan kita jual memang jimat antara 30 hingga 50 peratus,” katanya.

Lancar Ehsan Mart, jalin kerjasama Segi Fresh

Susulan kejayaan berkenaan, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian

program JER selain turut menilai usaha PKPS mengendalikan isu jaminan bekalan makanan selepas berlakunya penularan Covid-19.

Berikutan pengiktirafan bertaraf antarabangsa itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Wira Dr Mohammad Khairil Mohammad Razi berkata PKPS akan melipat gandakan lagi usaha dalam merencana strategi mendepani isu bekalan makanan.

Selain menjayakan jualan menggunakan trak syarikat, pada Julai 2023 PKPS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pasar raya borong dan runcit Segi Fresh bertujuan memperluas capaian JER.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Pasar Raya Ehsan Mart Sungai Tua Dataran Selayang, Gombak pada 6 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MDIA SELANGOR

Segi Fresh yang menyediakan lokasi jualan dan logistik di 55 premis rangkaiannya di seluruh Selangor menawarkan potongan harga kira-kira 20 peratus bagi produk Ehsan.

PKPS turut melancarkan Ehsan Mart pada September tahun lalu sebagai kesinambungan komitmen pihaknya menyediakan barangan asas pada harga yang lebih murah, dengan tawaran harga antara 10 hingga 15 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

PKPS merancang untuk membuka 56 cawangan di seluruh DUN Selangor menjelang 2027, terutamanya di kawasan yang berdekatan dengan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).

Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI