SHAH ALAM, 30 OKT: Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Makanan Warisan Selangor 2025 yang bakal berlangsung pada 1 November mulai 8 pagi hingga 4 petang di Kompleks Sukan Kuala Selangor.
Acara tahunan yang sarat dengan nilai tradisi itu menjanjikan pelbagai aktiviti menarik berteraskan budaya dan gastronomi warisan negeri, selain menampilkan suasana kampung klasik penuh nostalgia.
Pengunjung turut digalakkan mengenakan pakaian tradisional atau gaya desa bagi menyerikan lagi tema festival yang menekankan identiti warisan masyarakat pelbagai kaum di Selangor.
Menariknya, festival kali ini bakal mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records melalui pengedaran lempeng sagu biji mata ikan terbanyak dan pembinaan formasi rumah api kuih Beppa Pute’ terbesar di Malaysia.
Selain pameran makanan tradisi, festival turut menampilkan 13 aktiviti utama termasuk demonstrasi masakan, pertandingan masakan rakyat, persembahan kebudayaan, dan jualan produk tempatan.

Sebelum ini, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Borhan Aman Shah berkata penganjuran festival tersebut bukan sahaja mengangkat keunikan cita rasa warisan Selangor, malah menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.
“Festival Makanan Warisan Selangor ini bukan sekadar memperkenal juadah tradisi, tetapi juga platform mengiktiraf penggiat dan pembuat makanan warisan dari seluruh negeri,” katanya.
Beliau menambah, penganjuran tersebut seiring matlamat Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan lebih lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri berkenaan.







