ad

EXCO ingatkan umat Islam semak tawaran haji elak ditipu ejen tidak sah

30 Okt 2025, 1:00 AM
EXCO ingatkan umat Islam semak tawaran haji elak ditipu ejen tidak sah
EXCO ingatkan umat Islam semak tawaran haji elak ditipu ejen tidak sah
EXCO ingatkan umat Islam semak tawaran haji elak ditipu ejen tidak sah
EXCO ingatkan umat Islam semak tawaran haji elak ditipu ejen tidak sah

SHAH ALAM, 30 OKT: Umat Islam khususnya di Selangor diingatkan supaya berwaspada terhadap tawaran mengerjakan haji oleh syarikat atau ejen yang tidak diiktiraf bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata bakal jemaah perlu meneliti setiap tawaran yang diterima serta membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berwibawa seperti Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum membuat sebarang bayaran.

EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Dr. Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada Media Selangor selepas majlis pra-pelancaran Festival HalalVibe Selangor by SELHAC yang berlangsung di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 19 September 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Tawaran pakej haji banyak berlaku dalam kalangan masyarakat dan perlu diteliti dengan berhati-hati. Banyak aduan diterima membabitkan tawaran tidak jujur dan cubaan menipu bakal jemaah.

"Saya sarankan masyarakat meneliti dahulu dan berhubung terus dengan TH kerana mereka mempunyai senarai ejen atau syarikat yang sah.

"Pada masa sama, anak-anak juga digalakkan membantu ibu bapa membuat semakan terhadap kewujudan syarikat yang menawarkan pakej tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian Insentif Haji Muassasah kepada semua bakal jemaah dari Selangor sebagai tanda sokongan terhadap ibadah suci itu.

Tahun ini, Selangor memperuntuk RM6 juta untuk meneruskan pemberian tunai RM1,000 yang memanfaatkan 6,000 jemaah haji.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 47 jemaah warga emas menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan dipercayai dikendalikan seorang agamawan terkenal.

Mereka dilaporkan terpaksa meredah laluan berbahaya tanpa dokumen sah untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak memiliki visa haji.