ad

Bahaya Roblox: Garis panduan keselamatan digital akan diperkenal

29 Okt 2025, 11:35 AM
Bahaya Roblox: Garis panduan keselamatan digital akan diperkenal
Bahaya Roblox: Garis panduan keselamatan digital akan diperkenal
Bahaya Roblox: Garis panduan keselamatan digital akan diperkenal

SHAH ALAM, 29 OKT: Satu garis panduan keselamatan digital akan diperkenalkan bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko permainan dalam talian seperti Roblox.

Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Mohd Zaharin berkata langkah itu merupakan antara hasil pertemuannya bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta wakil Roblox, hari ini.

Menurutnya, perbincangan tersebut menumpukan kepada isu keselamatan digital termasuk risiko pedofilia, buli siber, ketagihan permainan, eksploitasi dalam talian serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

“Garis panduan keselamatan yang bersesuaian akan kita keluarkan. Pada masa sama, program kesedaran akan dilaksanakan secara bersepadu untuk membendung isu ini.

“MESF bersama pemegang taruh juga akan menjelaskan bentuk permainan yang sesuai berdasarkan had umur,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).

Muhammad Naim menegaskan, walaupun sesetengah permainan video tidak dikategorikan sebagai sukan elektronik (e-sukan), MESF tetap memainkan peranan membantu mengurangkan risiko dan gejala tidak sihat dalam kalangan pemain muda.

Langkah itu turut diambil susulan kes kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah akibat dikelar di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, dipercayai berpunca daripada pengaruh permainan dalam talian.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian itu mungkin dilakukan oleh abang mangsa berusia sembilan tahun yang berang selepas permainan dalam taliannya terganggu dan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul.

“Suspek dipercayai mengalami halusinasi akibat pengaruh permainan dan seolah-olah diarahkan untuk mencederakan ahli keluarganya,” katanya.

Mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, sementara siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan lanjut daripada mangsa.