KUALA LUMPUR, 10 OKT: Kerajaan Negeri bercadang menganjurkan sidang kemuncak khusus bagi sektor ekonomi kreatif pada tahun depan bagi membincangkan isu serta potensi besar dalam industri tersebut.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran itu dijangka diadakan pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun depan.
“Ada beberapa eksplorasi yang akan kita kembangkan, antaranya melihat potensi dan kelebihan dalam ekonomi kreatif.
“Baru-baru ini, EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi, menganjurkan seminar ekonomi kreatif. Jika ekonomi jingga ini dapat dibangunkan dengan sistem yang kukuh dan mantap, kita boleh jadikan ekonomi kreatif sebagai salah satu komponen dalam SIBS pada masa hadapan.
“Ini kerana ekonomi kreatif mempunyai jaringan dan nilai pasaran yang sangat besar untuk negeri Selangor,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Amirudin turut memaklumkan bahawa Selangor merupakan negeri pertama membangunkan rangkaian ekosistem menyeluruh berkaitan ekonomi penjagaan di Malaysia.
“Saya percaya dengan penganjuran SICS yang membawa 54 pempamer akan membantu kita mengukuhkan lagi ekosistem dan perusahaan sosial ekonomi penjagaan yang mempunyai nilai ekonomi lebih baik,” ujarnya.
SIBS yang berlangsung di KLCC tahun ini menawarkan lebih 700 reruai pameran kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa.
Sidang tahunan yang dianjur sejak 2015 memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) yang sebelum ini dikenali Pameran Udara Selangor.
Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri berharap nilai transaksi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 mampu melepasi angka RM13.86 bilion yang direkodkan tahun lalu.
Walaubagaimanapun pihaknya tetap menyasarkan sejumlah RM10 bilion nilai perolehan sepanjang empat hari sidang berlangsung selain mampu menarik kehadiran 50,000 pengunjung.