SHAH ALAM, 29 OKT: Peningkatan jumlah warga emas di Selangor menimbulkan kebimbangan apabila ramai berisiko miskin disebabkan simpanan persaraan tidak mencukupi dan kos sara hidup semakin meningkat.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata data menunjukkan purata simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka berumur antara 50 hingga 54 tahun hanya sekitar RM48,311.
Jelasnya, jumlah itu jauh daripada mencukupi memandangkan kos sara hidup bulanan seorang warga emas kini dianggarkan mencecah RM2,690.
“Bayangkan bagaimana mereka mahu bertahan sehingga usia jangka hayat 78 tahun. Jumlah simpanan yang dianggap selesa ialah sekitar RM390,000, jadi jurang ini amat besar,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Beliau menambah, keadaan itu lebih membimbangkan apabila ramai warga emas kehilangan sumber pendapatan tetap, manakala kos kesihatan pula terus meningkat.
Katanya, walaupun Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan bantuan warga emas daripada RM600 juta kepada RM1.26 bilion, jumlah itu masih rendah berbanding keperluan sebenar dan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kita perlu melihat isu ini sebagai tanggungjawab bersama. Tidak semua warga emas mempunyai caruman mencukupi atau sokongan keluarga, maka dasar sosial perlu disusun semula bagi melindungi mereka,” jelasnya.
Fokus Belanjawan Selangor 2026: Latihan, galak pelaburan sektor penjagaan
Menjelang Belanjawan Selangor 2026, Anfaal berkata Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu memperkukuh latihan penjaga tidak formal serta menarik pelaburan swasta dalam sektor penjagaan.
“Kita mahu penjaga tidak formal dilatih dan diiktiraf melalui kursus serta pensijilan supaya mereka memperoleh peluang pekerjaan yang stabil,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan memberi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lapan peratus kepada pengusaha pusat penjagaan swasta bagi menarik pelaburan dalam sektor berkenaan.
Langkah itu diyakini mampu memacu pertumbuhan industri penjagaan sebagai sektor ekonomi baharu di Selangor serta membuka peluang pekerjaan, khususnya kepada wanita dan kumpulan M40.
Anfaal menegaskan, hasrat Kerajaan Negeri bukan sekadar bersedia menghadapi status negeri menua, tetapi juga memastikan setiap warga emas menikmati kehidupan yang aktif, sejahtera dan bermaruah.
“Setiap daripada kita akan melalui fasa ini. Maka menjadi tanggungjawab bersama memastikan Selangor kekal sebagai negeri penyayang dan inklusif untuk semua peringkat usia,” katanya.




