SHAH ALAM, 2 MEI: Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan tepat pada masanya dalam mendepani tekanan pasaran buruh semasa.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata PACE juga bertindak sebagai ‘penstabil’ kepada pasaran buruh di Lembah Klang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur, antara kawasan paling terkesan sepanjang Mac hingga April susulan tekanan ekonomi semasa.
“Saya percaya Pakej PACE akan memberi kesan positif kerana dalam tempoh Mac hingga April, Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang mengalami tekanan ketara dalam pasaran buruh.
“Peningkatan kos operasi termasuk logistik dipercayai menjadi antara faktor yang mendorong sebahagian syarikat mengurangkan tenaga kerja, sekali gus memberi kesan langsung kepada pekerja,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut Anfaal berkata, pelaksanaan PACE membantu mengimbangi tekanan tersebut melalui sokongan bersasar kepada golongan terjejas selain melengkapkan inisiatif bantuan di peringkat persekutuan.
Menurutnya, Selangor dijangka menjadi antara negeri yang menerima manfaat terbesar berikutan skala ekonomi dan jumlah tenaga buruh yang tinggi, khususnya dalam sektor yang sensitif terhadap perubahan kos operasi.
“Pada masa sama, Kerajaan Selangor akan terus menambah baik pakej ekonomi negeri dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada individu tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan PACE bernilai lebih RM710 juta sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh negara.
Ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, beliau berkata PACE merupakan sebahagian daripada strategi daya tahan ekonomi.
Ia meliputi empat inisiatif utama dan dilaksanakan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).









