ad

RS-2 gariskan pelan Selangor menuju bandar metropolitan

28 Okt 2025, 8:18 AM
RS-2 gariskan pelan Selangor menuju bandar metropolitan

PUTRAJAYA, 28 OKT: Perancangan Selangor menuju status bandar metropolitan menjelang 2029 akan dimasukkan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2), kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, perkembangan dan persediaan ke arah pelaksanaan perancangan itu akan diperincikan semasa pembentangan RS-2 yang dijadual pada Jun tahun depan.

“Kita akan bentangkan pada sesi pertama tahun hadapan. Sebahagian perancangan telah pun dimasukkan dalam RS-2 dan kini berjalan selaras dengan tindakan Kerajaan Negeri.

“Insya-Allah sasaran ini dapat dicapai. Kita akan terus pantau dari semasa ke semasa agar pelaksanaan mengikut perancangan dalam rangka kerja yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Kongres Perancangan Kebangsaan 2025 sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sebelum ini, Amirudin menjelaskan, sasaran Selangor menjadi bandar metropolitan boleh dicapai melalui gabungan empat bandar raya utama iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

RS-2 yang bakal menjadi hala tuju pembangunan negeri mulai 2026 antara lain akan menumpukan kepada pembangunan jajaran rel Selangor bagi meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam antara utara dan selatan negeri.