PUTRAJAYA, 28 OKT: Selangor memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan pentadbiran dan memacu tadbir urus negeri dengan lebih berintegriti.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penguasaan teknologi itu diperkasakan dalam membentuk negeri pintar tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan sekali gus memanfaatkan rakyat.
“Dalam menuju ke arah bandar pintar, Selangor memanfaatkan AI untuk menjamin kemampanan dan kekuatan negeri. Selangor bermula dengan AI tetapi bukan dengan mesin sebaliknya modal insan.
“Kita hantar delegasi bagi memahami fungsi AI untuk diadaptasi dalam cara kerja. Kita perlu kawal dan kuasai AI berbanding teknologi ini menunggang kehidupan manusia.
“Penting untuk kita faham dan tahu had penggunaan AI dalam pentadbiran. Memang ada kebergantungan dalam penggunaan AI tetapi tidak boleh terlalu bergantung kerana akan hilang kemanusiaan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada Kongres Perancangan Kebangsaan 2025 sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ditemui pemberita, Amirudin memaklumkan Selangor tidak bergerak secara silo dalam meningkatkan pentadbiran teratur menggunakan sistem pendigitalan, sebaliknya kerjasama semua jabatan.
Menurut beliau, antara cabaran besar adalah bagaimana menghubungkan dan bekerjasama dengan semua agensi dan jabatan, namun akhirnya menampakkan hasil setelah beberapa tahun.
“Kini pentadbiran negeri ditranformasi dengan pendigitalan seperti Smart Parking, Ekonomi Digital yang semuanya memanfaatkan rakyat sekali gus meningkatkan kemahiran.
“Untuk membina pentadbiran negeri bawah ekosistem digital tidak boleh bergerak secara silo dan pada masa sama memperkasa kemanusiaan seiring perkembangan teknologi,” katanya.




