Dua ditahan edar ganja lebih RM500,000 dekat parkir kondominium

28 Okt 2025, 5:05 AM
Dua ditahan edar ganja lebih RM500,000 dekat parkir kondominium

SHAH ALAM, 28 OKT: Dua individu ditahan di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Klang Lama selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis bunga ganja bernilai RM553,500.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dua suspek iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun dan seorang wanita berumur 56 tahun ditahan pada jam 3.20 petang, Sabtu lalu hasil maklumat risikan.

Katanya, penahanan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Exora yang dinaiki mereka menemui bahan disyaki bunga ganja seberat 18.5 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjadikan kawasan tempat letak kereta kondominium sebagai lokasi transaksi dan dipercayai mula beroperasi secara aktif sejak Ogos lalu di sekitar Lembah Klang.

"Jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menjejaskan kira-kira 37,000 pengguna," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman enam hari bermula 26 hingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, JSJN turut menyita wang tunai RM250 milik suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah. Namun suspek lelaki memiliki dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.