SHAH ALAM, 28 OKT: Tiga buah feri dilaporkan musnah selepas terbakar di kawasan Ship Yard, Langkawi, awal pagi tadi.
Ketua Zon 4 Langkawi, PgB Mohd Zamri Abdul Gani, yang mengetuai operasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
"Setibanya di sana, kebakaran sedang marak melibatkan ketiga-tiga bot tersebut.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran 200 kaki, tiga pancutan air dari pili bomba dan satu aliran foam dengan bantuan water tanker untuk memadamkan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi serta BBP Padang Mat Sirat.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.








