PONTIAN, 28 OKT: Seorang warga emas cedera ringan selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pintu kaca sebuah stesen minyak di Pekan Permas, dekat Pontian, semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Kia dipandu lelaki tempatan berusia 86 tahun, lapor Sinar Harian.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke stesen minyak di Pekan Permas. Apabila tiba di lokasi, dia dipercayai hendak menekan pedal brek tetapi tersilap menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan meluncur ke hadapan, merempuh pintu kaca dan masuk ke ruang kedai stesen minyak,” katanya.
Pemandu tersebut mengalami kecederaan ringan di kaki kanan dan telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Pontian.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1957, dan tindakan lanjut boleh dikenakan mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987.




