Dari pasar malam ke perusahaan berjaya hasil bimbingan Hijrah Selangor

28 Okt 2025, 12:00 AM
Dari pasar malam ke perusahaan berjaya hasil bimbingan Hijrah Selangor
Dari pasar malam ke perusahaan berjaya hasil bimbingan Hijrah Selangor
Dari pasar malam ke perusahaan berjaya hasil bimbingan Hijrah Selangor
Dari pasar malam ke perusahaan berjaya hasil bimbingan Hijrah Selangor

SHAH ALAM, 28 OKT: Program Pembangunan Usahawan 2025 anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) berjaya membantu peserta memperkukuh perniagaan melalui bimbingan dalam pengurusan kewangan, digitalisasi dan strategi pemasaran yang lebih berkesan.

Penerima Anugerah Khas, Hazizan Kamarudin, 46, yang bersama Hijrah Selangor selama 13 tahun lalu berkata, pelbagai kursus dan bimbingan diterima telah mengembangkan perniagaannya daripada jualan di pasar malam kepada perusahaan kabinet yang lebih tersusun dan menguntungkan.

Penerima Anugerah Khas Hazizan Kamarudin, 46. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIASELANGOR

“Bimbingan yang diberikan sangat membantu, terutama dalam memahami untung rugi serta mengurus simpanan dengan lebih baik. Kursus yang ditawarkan banyak memberi manfaat dan membuka mata usahawan tentang pentingnya ilmu dalam perniagaan,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Program Pembangunan Usahawan 2025 di Hotel De Palma, di sini, semalam.

Sementara itu, Penerima Anugerah Go-Getter MyBijakNiaga, Intan Shaidatul Shima, 39, pula berkata program yang disertai bermanfaat kerana membantu usahawan memahami pelbagai aspek penting termasuk pengurusan kewangan, penggunaan aplikasi digital dan percukaian.

Penerima Anugerah Go-Getter MyBijakNiaga Intan Shaidatul Shima Mohd Shariff, 39. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIASELANGOR

“Program seperti ini sangat bagus kerana ia membimbing usahawan tempatan menjadi lebih sistematik dan berani mengurus perniagaan sendiri. Rekod perniagaan amat penting dan sebagai usahawan kita perlu berdisiplin serta sentiasa mencari ilmu baharu,” ujarnya.

Bagi Penerima Anugerah Ikon Spotlight EDP, Nor Hasiza Omar, 58, penyertaannya dalam program pembangunan usahawan Hijrah Selangor menjadikan perniagaannya lebih tersusun serta membantunya memahami strategi pemasaran dengan lebih baik.

“Peniaga tempatan tidak boleh rasa terlalu pandai. Berniaga tanpa ilmu boleh menyebabkan kita rugi. Program sebegini membuka peluang untuk menambah pengetahuan dan mengurus perniagaan dengan lebih profesional,” katanya.

Penerima Anugerah Ikon Spotlight EDP Nor Hasiza Omar, 58. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIASELANGOR