SHAH ALAM, 27 OKT: Cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan program pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) disifatkan sebagai langkah tepat, kata Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, sudah tiba masanya usaha tersebut dilaksanakan bagi membentuk ekosistem TVET yang lebih tersusun dan berkesan, selain mengelak pertindihan fungsi serta fokus antara pelbagai pihak.
“Antara pendekatan dicadangkan bagi meningkatkan nilai dan mutu TVET ialah melalui RUU ini, seminggu dalam tempoh cuti sekolah dikhususkan untuk pelajar sekolah menengah diberi pendedahan di kilang berteknologi tinggi.
“Selain itu, kerjasama antara industri, kerajaan dan institusi pendidikan perlu diperkukuh seperti yang diamalkan di Belanda, bagi membina jaringan TVET yang kukuh serta memberi peluang pelajar meneroka pengalaman kerja dan bidang baharu.
“Dengan penggubalan RUU ini, masa depan TVET akan terus diperkasakan sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga mahir negara,” katanya ketika berbahas Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Majlis TVET Negara akan memperkukuh ekosistem TVET secara menyeluruh termasuk melalui cadangan penggubalan RUU TVET bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri berpertumbuhan tinggi.
Sebanyak RM7.9 bilion diperuntuk bagi sektor TVET tahun depan berbanding RM7.5 bilion sebelum ini, dengan tumpuan khusus kepada bidang berkeutamaan tinggi.





