ad

Program Hari Tanpa Kenderaan MPHS kumpul 460kg bahan kitar semula

27 Okt 2025, 5:56 AM
Program Hari Tanpa Kenderaan MPHS kumpul 460kg bahan kitar semula
Program Hari Tanpa Kenderaan MPHS kumpul 460kg bahan kitar semula
Program Hari Tanpa Kenderaan MPHS kumpul 460kg bahan kitar semula

SHAH ALAM, 25 OKT: Program Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berjaya mengumpul lebih 460 kilogram bahan kitar semula termasuk minyak masak terpakai, sisa elektronik dan buku terpakai di Jalan Orkid, Bukit Sentosa, baru-baru ini.

MPHS dalam kenyataan memaklumkan Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) mencatat kutipan 376.6 kilogram minyak masak terpakai, 64.55 kilogram sisa elektronik dan 23 kilogram buku terpakai sepanjang program tersebut.

Pelbagai reruai pendidikan turut disediakan termasuk SIDINA UCO (Minyak Masak Terpakai), SIDINA e-Waste (Sisa Elektronik), Kempen Katakan Tidak Kepada Plastik Sekali Guna serta Buku Terpakai Membawa Nilai, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa secara bertanggungjawab.

“Melalui penganjuran ini, masyarakat dididik bahawa sisa bukan sekadar sampah, sebaliknya mampu memberi manfaat kepada alam sekitar, kesihatan awam dan ekonomi komuniti jika diurus dengan betul,” menurut MPHS di Facebook.

Program turut dimeriahkan dengan aktiviti Anjung MPHS, yang menarik penyertaan 46 peserta dalam kuiz interaktif mengenai pencemaran mikroplastik menggunakan aplikasi Kahoot.

MPHS menjelaskan, inisiatif berkenaan sejajar dengan Dasar Ekonomi Kitaran Negara serta komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

“Pencapaian ini menunjukkan kesedaran penduduk Hulu Selangor terhadap amalan kitar semula semakin meningkat, sekali gus membantu mengurangkan sisa ke tapak pelupusan serta memperkukuh budaya komuniti hijau,” jelas MPHS.