SHAH ALAM, 27 OKT: Seramai 147 individu ditahan dalam siri serbuan bersepadu di sekitar Selangor selepas disyaki mengendalikan platform perjudian dalam talian tanpa kebenaran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi besar-besaran itu dijalankan Bahagian D7 (Anti-Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman melibatkan tujuh serbuan serentak ke atas premis pejabat dan gudang, lapor Berita Harian.
“Premis terbabit dipercayai berfungsi membangunkan platform perjudian dalam talian, membekal mesin slot serta mengedar komponen mesin perjudian bagi pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata, semua premis tidak mempunyai kebenaran sah daripada pihak berkuasa termasuk Kementerian Kewangan.
Daripada jumlah tangkapan, 140 individu ialah rakyat tempatan (110 lelaki, 30 wanita) manakala tujuh lagi warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun.
Seramai 133 individu akan didakwa atas kesalahan mempromosikan perjudian mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan, manakala tujuh warga asing akan dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit.
Polis turut meneliti kemungkinan tindakan lanjut di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).




