Polis tumpaskan enam sindiket penipuan, tahan 38 individu di Selangor

13 Apr 2026, 1:36 PM
Polis tumpaskan enam sindiket penipuan, tahan 38 individu di Selangor

SHAH ALAM, 13 APRIL: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket jenayah penipuan antaranya membabitkan pelaburan dan judi menerusi enam serbuan berasingan di sekitar Kajang dan Petaling Jaya minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata hasil kesemua serbuan berjaya menahan 38 individu termasuk tiga warga tempatan berusia antara 19 hingga 50 tahun selain merampas pelbagai peranti elektronik bernilai kira-kira RM138,000 dipercayai digunakan bagi kegiatan jenayah terbabit.

Beliau berkata siasatan awal mendapati antara aktiviti penipuan dijalankan adalah dalam bentuk love scam atau penipuan cinta, penipuan kerja, judi dalam talian dan penipuan pelaburan dalam talian dengan menyasarkan mangsa warganegara asing seperti China, Jepun, Indonesia serta Singapura.

“Ada antara sindiket menawarkan penjualan akaun WeChat dan iCloud melalui platform Telegram dan dijual kepada sindiket penipuan pasaran China. Rata-rata ahli sindiket ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan operator.

“Dua daripada tiga warga tempatan ditahan pula bertugas sebagai tukang masak dan pemandu kepada ahli sindiket ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shazeli berkata modus operandi yang dikenal pasti ialah dengan mencari mangsa menerusi aplikasi media sosial seperti WeChat, Potato, WhatApps, Line dan Telegram.

Beliau berkata semua warga asing itu memasuki negara ini secara sah sejak awal tahun menggunakan pas lawatan sosial, dengan semakan silang akan dilakukan oleh Jabatan Imigresen bagi mengesahkan dokumen mereka, manakala semua suspek kini direman antara empat hingga tujuh hari untuk siasat mengiut Seksyen 420 serta 120B Kanun Keseksaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.