KPM perkukuh pendidikan inklusif bantu pelajar berkeperluan khas

27 Okt 2025, 4:19 AM
KPM perkukuh pendidikan inklusif bantu pelajar berkeperluan khas

SHAH ALAM, 27 OKT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif demi memastikan setiap pelajar, termasuk pelajar berkeperluan pendidikan khas (MBPK), mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, komitmen itu dizahirkan melalui lawatan beliau ke Rumah Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga (APS) di Kuala Terengganu baru-baru ini yang menyediakan khidmat jagaan, terapi dan sokongan kepada anak-anak istimewa Cerebral Palsy, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Kewujudan pertubuhan kebajikan seperti APS dapat memperkasa ekosistem sokongan bagi memenuhi keperluan rakyat. Saya faham keperluan anak-anak golongan orang kurang upaya (OKU), sementelahan, saya juga punya anak dengan spektrum autisme.

"Komitmen kami di kementerian terhadap segmen murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) jelas, iaitu untuk memastikan peluang pendidikan yang inklusif untuk semua, katanya menerusi Facebook.

Beliau turut memaklumkan bahawa melalui Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM270 juta untuk elaun bulanan kepada 150,000 murid, selain RM700 juta bagi meningkatkan akses pendidikan berkualiti dan penyediaan kemudahan mesra OKU di seluruh negara.

Katanya, usaha berterusan ini penting bagi memastikan setiap murid mendapat hak pendidikan yang adil dan mampu mencapai potensi diri sepenuhnya.