SHAH ALAM, 27 OKT: Festival IDEA@Selangor mengetengahkan inovasi hijau MX Pronozzer ciptaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang berperanan membantu memadam kebakaran tanah gambut dengan lebih pantas dan efisien.
Pegawai Penguatkuasa MBDK, Mohd Hafiz Shafiee, 39, berkata inovasi itu terbukti berkesan memadamkan api yang merebak di permukaan dan bawah tanah gambut tanpa memerlukan tenaga anggota bomba yang ramai.
“Kita lakukan penambahbaikan dengan mempelbagaikan kegunaan MX Pronozzer daripada pemadaman apo tanah gambut kepada kebakaran di pusat pelupusan sampah.
“Inovasi ini bermula daripada penggunaan alat ‘pronozzer’ sebelum ditambah baik bersama pihak bomba menjadi MX Pronozzer,” katanya ketika ditemui di reruai MBDK sempena festival berkenaan di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Menurut beliau, MBDK turut menyertai beberapa pertandingan inovasi di peringkat negeri dengan mengetengahkan alat tersebut, yang kini mendapat perhatian pelbagai pihak.
“Kami berharap MX Pronozzer dapat diperluaskan penggunaannya ke peringkat PBT lain supaya menjadi pemudah cara kepada pihak berkaitan terutamanya pihak bomba,” katanya.
Terdahulu, festival yang berlangsung selama dua hari bermula 25 dan 26 Oktober itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau turut menyertai sesi Bicara Buku: Telaah Intelektual @ Festival IDEA Selangor 2025, menelusuri karya agung “Intelektual Masyarakat Membangun” nukilan Profesor Syed Hussein Alatas.




