ad

Empat negeri utara dijangka hujan berterusan hingga esok

24 Okt 2025, 9:01 AM
Empat negeri utara dijangka hujan berterusan hingga esok

SHAH ALAM, 24 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan empat negeri di utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang dijangka berterusan sehingga esok.

Selain itu MetMalaysia di Facebook memaklumkan , ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut diramal berlaku di beberapa negeri lain termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah sehingga 7 malam ini.

Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.

Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.

Setakat 8 pagi tadi, sebanyak 2,171 penduduk di Perak yang terdiri daripada 759 keluarga dipindahkan ke 22 PPS di daerah LMS serta Manjung apabila hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah berkenaan dinaiki air.

Antara kawasan terjejas di LMS ialah Kampung Sungai Baru, Kampung Salak Baru, Kampung Sungai Lubok, Kampung Masjid, Taman Kota Wira, Taman Kemunting Tiara, Taman Lara Aman, Taman Lara Damai dan Kampung Changkat Larah, Taman Kaya dan Taman Damai.

Di Manjung pula, kawasan terjejas antaranya ialah Kampung Nelayan, Kampung Sungai Batu, Taman Pantai Wang, Kampung Lorong Masjid, Taman Anggerik dan Kampung Pulau Kabung.

Keadaan banjir di Perak pada 24 Oktober 2025. Foto Facebook Saarani Mohamad