ad

Festival Mega i LINDUNG U: Peluang majikan tebus tunggakan Perkeso hingga 80 peratus

24 Okt 2025, 8:18 AM
Festival Mega i LINDUNG U: Peluang majikan tebus tunggakan Perkeso hingga 80 peratus

SHAH ALAM, 24 OKT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menawarkan potongan sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sempena Festival Mega i LINDUNG U yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam sehingga Ahad ini.

FCLB ialah denda terhadap majikan pada kadar enam peratus setahun bagi setiap hari caruman yang lewat dibayar, tertakluk kepada denda kompaun sehingga RM5,000 dan tindakan pendakwaan yang boleh dikenakan.

Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata inisiatif itu bertujuan membantu majikan menyelesaikan tunggakan caruman selain menggalakkan mereka kembali mematuhi tanggungjawab keselamatan sosial pekerja.

Ketua Eksekutif Perkeso Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed bercakap kepada media ketika Festival Mega i LINDUNG Udi Perkarangan Stadium Shah Alam pada 24 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kita juga memberi satu perkhidmatan di mana ada majikan yang mendapat surat mahupun penguatkuasaan tindakan pembayaran kompaun atau FCLB boleh hadir ke festival ini.

“Kita memberi ruang dan peluang kepada mereka termasuk menggalakkan pematuhan terhadap tanggungjawab keselamatan sosial pekerja, namun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas berhubung festival, Dr Mohammed Azman berkata Festival Mega i LINDUNG U itu bakal diadakan di Pulau Pinang pada Disember depan.

“Insya-Allah kita berhasrat untuk pergi ke negeri-negeri lain dan saya difahamkan yang seterusnya disasarkan di Pulau Pinang mungkin November atau Disember,” katanya.

Antara tarikan di Festival Mega i LINDUNG U ialah lebih 60 gerai jualan makanan, minuman dan produk komuniti disediakan, selain kaunter semakan caruman serta pendaftaran skim perlindungan Perkeso bagi kemudahan pengunjung.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan artis popular seperti Rabbani, Drama Band dan Sofazr, di samping berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai lebih RM20,000 termasuk tablet dan basikal.

Perkeso menjemput semua lapisan masyarakat daripada pekerja, majikan, pencari kerja dan keluarga untuk hadir memeriahkan festival yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam.