ad

Hampir 1,000 peluang pekerjaan pelbagai jawatan ditawar di Festival Mega I LINDUNG U

23 Okt 2025, 10:34 AM
Hampir 1,000 peluang pekerjaan pelbagai jawatan ditawar di Festival Mega I LINDUNG U

SHAH ALAM, 23 OKT: Hampir 1,000 jawatan kosong dan gaji sehingga RM10,000 ditawarkan di Festival Mega I LINDUNG U 2025 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berlangsung mulai esok sehingga Ahad ini.

PERKESO menjangkakan karnival yang diadakan di perkarangan Stadium Shah Alam di sini, dijangka menarik lebih 70,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian menarik, termasuk pendaftaran skim perlindungan sosial.

Menurut PERKESO, penganjuran festival ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi seruan untuk seluruh rakyat Malaysia menjadikan perlindungan sosial sebagai gaya hidup sejahtera dan bertanggungjawab.

“Festival ini adalah platform rakyat untuk mengenali dan mendekati PERKESO secara lebih interaktif. Melalui pelbagai aktiviti, kami mahu setiap lapisan masyarakat sedar bahawa keselamatan sosial adalah hak dan keperluan asas demi masa depan mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Antara pengisian festival adalah sesi borak santai bersama aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad (ZRA), tausiah oleh Sheikh Mahmood Al Wasobi, serta ceramah agama oleh Ustaz Mad Kecik.

Selain itu, pengunjung berpeluang menjalani saringan kesihatan percuma oleh Bahagian

Perubatan dan Pemulihan PERKESO, serta saringan kanser percuma oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Kenyataan itu menambah, PERKESO turut menawarkan diskaun sehingga 80 peratus ke atas Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sepanjang festival bagi membantu mereka menyelesaikan tunggakan caruman yang tertakluk kepada terma dan syarat.

“Menambah kemeriahan, pengunjung boleh menyertai aktiviti seperti dekorasi kek tiramisu

'LINDUNG Kasih', bual bicara 'LINDUNG Pekerja', pertandingan e-Sport 'LINDUNG Kendiri', perkongsian inspirasi bersama pempengaruh Makkiah Ferry, serta pertunjukan silap mata oleh Mawie Magic,” katanya.

Menurut PERKESO, lebih 60 gerai jualan makanan, minuman dan produk komuniti disediakan, selain kaunter semakan caruman dan pendaftaran skim perlindungan PERKESO untuk kemudahan orang ramai.

Selain itu, katanya, orang ramai berpeluang melihat persembahan artis popular seperti Rabbani, Drama Band, serta Sofazr, termasuk memenangi hadiah menarik seperti tablet, basikal, dan pelbagai lagi yang bernilai RM20,000.

“PERKESO menjemput semua lapisan masyarakat daripada pekerja, majikan, pencari kerja hingga keluarga untuk hadir ke Festival Mega I LINDUNG U, yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.