ad

Air Selangor terus didik generasi muda melalui Peraduan Misi Jimat Air Bersama BoboiBoy 2025

24 Okt 2025, 8:33 AM
Air Selangor terus didik generasi muda melalui Peraduan Misi Jimat Air Bersama BoboiBoy 2025

SHAH ALAM, 24 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus komited mendidik generasi muda mengenai kepentingan penjimatan air menerusi Peraduan Misi Jimat Air Bersama BoBoiBoy 2025, yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya.

Program anjuran bersama Monsta Studios Sdn Bhd (Monsta) itu berlangsung dari 15 Ogos hingga 23 November, dan tahun ini diperluas kepada pelajar sekolah menengah selepas menerima sambutan menggalakkan daripada sekolah rendah pada edisi sulung tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, berkata pihaknya yakin pelajar sekolah menengah berperanan besar dalam membentuk masa depan yang lestari.

“Melalui peraduan ini, kami ingin memberi ruang kepada mereka menyalurkan idea dan kreativiti dalam menyampaikan mesej penjimatan air secara lebih bermakna.

“Diharapkan penyertaan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakan sebaya, malah menggalakkan perubahan tingkah laku terhadap penggunaan air secara berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, penganjuran itu bukan sekadar mengajar pelajar menjaga sumber air, tetapi turut mengasah kemahiran komunikasi, kreativiti serta kerja berpasukan melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan.

Peserta hanya perlu memuat naik video penyertaan di platform media sosial Facebook atau Instagram menggunakan akaun rasmi sekolah atau guru, disertakan kapsyen menarik dan tanda pagar #AirSelangor #AirSelangorXBoBoiBoy #MisiJimatAirBersamaBoBoiBoy

Peraduan ini menawarkan dua kategori utama iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah yang menawarkan hadiah utama penambahbaikan kemudahan sekolah bernilai RM15,000 kepada sekolah pemenang. Hadiah itu bertujuan memberi manfaat langsung kepada warga sekolah, termasuk mencantikkan persekitaran atau membangunkan Taman Lestari untuk pelajar.

Bagi memperluas capaian dan penyertaan, Air Selangor turut bekerjasama dengan portal pendidikan Sinar Bestari di bawah kumpulan media Sinar Harian untuk melaksanakan siri jelajah ke sekolah-sekolah terpilih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Melalui siri jelajah itu, pelajar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk bengkel asas penghasilan video, penceritaan digital, permainan dan kuiz interaktif bagi mencungkil kreativiti serta pemikiran inovatif dalam menyampaikan mesej penjimatan air.

Peserta juga perlu mengisi maklumat penyertaan melalui borang atas talian di laman rasmi Air Selangor. Untuk maklumat lanjut, layari www.airselangor.com/airselangorxboboiboy.