SHAH ALAM, 24 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa negeri di seluruh negara termasuk Selangor, sehingga jam 3 petang hari ini.
Antara kawasan di Selangor yang terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, serta Perak (Kerian, Larut Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
Turut dijangka terjejas ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), serta Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah).
Bagi negeri di Borneo, amaran dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Sarawak termasuk Sarikei (Sarikei), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri) serta di Sabah, melibatkan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, keadaan cuaca berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang di beberapa kawasan rendah serta pesisir pantai.
Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca tidak menentu, selain memantau maklumat terkini melalui laman rasmi serta saluran media sosial MetMalaysia.





