KUALA LUMPUR, 23 OKT: Wanita warga Indonesia dihukum penjara 15 tahun dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menampar, mencakar dan mencederakan rakan senegaranya dengan gunting serta memasukkan serbuk cili ke dalam seluar dalam mangsa, dua minggu lalu.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga dalam talian Erna Wati, 41, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Oktober lalu serta penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.
Erna Wati didakwa dengan sengaja menyebabkan parah terhadap pekerja kedai makan, Dyah Ayu Kuriniasari, 43, menggunakan gunting di tepi jalan berdekatan Pulapol, di sini pada 10.30 malam, 7 Oktober lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Difahamkan kejadian berlaku kerana mangsa dipercayai mengganggu suami tertuduh.
Mengikut fakta kes, mangsa (Dyah Ayu) dijemput rakannya dengan menaiki sebuah kereta bersama tertuduh (Erna) serta dua lagi rakan tertuduh dan ketika berada di dalam kereta berkenaan, tertuduh bertanyakan beberapa soalan kepada mangsa.
Namun tertuduh tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa lalu mengarahkan seorang daripada rakan tertuduh memegang badan mangsa. Tertuduh kemudian meletakkan serbuk cili pada bahagian muka dan memasukkan serbuk itu ke dalam seluar dalam mangsa.
Mangsa turut dicakar, ditampar oleh tertuduh dan matanya dicungkil serta tertuduh juga bertindak mencucuk bahagian belakang mangsa beberapa kali menggunakan gunting dalam keadaan marah dan menggunting baju mangsa sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan berhampiran tempat kejadian.
Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami beberapa kesan luka akibat dicakar dan ditikam serta terdapat kesan gunting pada bahagian muka, badan, tangan, kaki dan telinga wanita itu selain rambutnya dipotong.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan itu serius serta tahap kekejaman yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa.
“Dalam kes ini, mangsa merupakan seorang wanita yang mengalami kecederaan serius serta mempunyai kesan psikologi akibat perbuatan tertuduh.
"Tindakan tertuduh yang menampar, meletakkan serbuk cili dan mencakar mangsa adalah perbuatan kejam. Mohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran supaya kejadian ini tidak berulang lagi," katanya.
Peguam Ahmad Ikram Ab Alim yang mewakili Erna Wati memohon hukuman penjara minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai lima anak berusia antara lima hingga 11 tahun yang masih bersekolah selain tiada rekod kesalahan lampau.
"Anak guam saya telah menetap di Malaysia selama 20 tahun. Dia juga telah insaf dan kesal dengan perbuatannya," katanya.
- BERNAMA




