ad

Suspek bunuh gelandangan direman tujuh hari

23 Okt 2025, 8:22 AM
Suspek bunuh gelandangan direman tujuh hari

SHAH ALAM, 23 OKT: Lelaki Rohingya yang dipercayai menolak rakannya hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Persiaran Ara Kiri, Bangsar di sini, kelmarin direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, lelaki warga Myanmar berusia 27 tahun yang ditahan semalam direman bermula hari ini hingga 29 Oktober ini, katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, setakat ini tiga saksi sudah dirakam percakapan membabitkan pengadu, anggota bilik gerakan (DCC) dan doktor yang melakukan bedah siasat serta rakaman saksi bebas lain dalam tindakan.

"Ujian awal saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia negatif dadah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam mendapati punca kematian mangsa adalah kerana hentaman tumpul di belakang kepala dan pendarahan otak.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki warga asing yang juga gelandangan ditemui mati dengan luka di kepala selepas ditolak rakannya ke dalam saluran air di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang juga gelandangan, kelmarin.