SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan bersetuju meneruskan penempatan anggota polis di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar terus terjamin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan peningkatan kes buli, penderaan dan jenayah di sekolah yang menimbulkan kebimbangan ibu bapa dan masyarakat.
“Bagaimanapun, panduan akan diberikan supaya kehadiran polis tidak menimbulkan keresahan kepada anak-anak,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Anwar turut memaklumkan kerajaan akan menubuhkan Majlis Pendidikan Negara bagi menambah baik kelemahan sistem pendidikan dan menyelaras pandangan semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN–Indera Mahkota) mengenai langkah kerajaan memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi keselamatan bagi menangani isu keselamatan murid di peringkat akar umbi.
Menurutnya, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM5 juta untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa sekolah terpilih bagi meningkatkan tahap keselamatan.
“Kaunseling akan turut ditambah, walaupun belum sepenuhnya melibatkan kaunselor terlatih. Pengambilan pembantu warden, termasuk daripada kalangan veteran tentera, juga akan dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya.
Pada masa sama, Anwar bersetuju dengan cadangan supaya jawatankuasa keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah disusun semula secara lebih berstruktur.
Katanya, kerajaan turut mempertimbangkan langkah menapis pengambilan pengawal keselamatan, pekerja kantin dan petugas kebersihan bagi memastikan mereka mempunyai latar belakang dan kelayakan sesuai.
“Kalau pun tidak ada sijil, mereka perlu diberi pendedahan mengenai tanggungjawab masing-masing, kerana pernah berlaku kes warden atau penjaga terlibat dalam jenayah, termasuk jenayah seksual,” katanya.
Berhubung pampasan kepada mangsa insiden di sekolah, perdana menteri menjelaskan jumlah sedia ada dianggap memadai namun boleh disemak semula mengikut kes.
“Sekiranya melibatkan kes tertentu seperti penderaan di Pulau Pinang, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar pampasan,” katanya.




