SHAH ALAM, 22 OKT: Pendekatan kebersamaan yang diamalkan ketika pandemik Covid-19 sepatutnya dijadikan iktibar dalam menangani isu pendidikan negara, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pendidikan adalah tanggungjawab bersama dan perlu digerakkan secara menyeluruh disemua peringkat termasuk kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat.

"Pandemik Covid-19 memberikan satu perubahan paradigma besar. Masa pandemik muncul pendekatan 'the whole society approach' iaitu macam mana masyarakat kita bertindak untuk menyelesaikan masalah.
"Sekarang di depan mata, kita lihat bertimpa-timpa (kes membabitkan pelajar sekolah). Lagi sekali orang sebut sekolah, sekolah, sekolah. Sama seperti ketika pandemik, orang sebut hospital, hospital, hospital.
“Kalau paradigma itu berjaya diubah, reformasi pendidikan akan mencapai kejayaan atau hasil yang penting. Ini satu pengajaran penting yang kadang-kadang kita lupa ketika menghadapi pandemik Covid-19 dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Reformasi Pendidikan dan Cabaran Masa Kini : Punya Arah atau Hilang Arah? anjuran Kerajaan Selangor di Pustaka Raja Tun Uda di sini, hari ini.

Amirudin turut menegaskan tanggungjawab melahirkan insan berilmu dan berakhlak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah, sebaliknya perlu digalas bersama ibu bapa, komuniti dan kepimpinan di semua peringkat.
“Apabila ibu bapa sibuk mencari rezeki, ahli politik dengan urusan masing-masing, tanpa sedar kita meletakkan beban besar kepada sekolah untuk membentuk generasi masa depan,” katanya.

Forum dikendali Ketua Sekretariat Pembangunan Mahasiswa Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi disertai Adun Batu Tiga Danial Al-Rashid dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan kebangsaan Aminuddin Awang.
Turut sama Mantan Presiden Majlis Belia Malaysia Senator Dr Jufitri Joha dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Dato Dr Md Amin Md Taff.
Membincangkan masalah berlaku dalam sistem pendidikan hari ini, Selangor negeri pertama mengendalikan forum sedemikian dengan melibatkan pelbagai pakar.