SHAH ALAM, 23 OKT: Melihat sendiri kemusnahan dahsyat akibat perang di bumi Syria menjadi pengalaman paling meruntun jiwa buat jurugambar dan juruvideo Syria Care, Muhammad Zahid Muhammad Razali, 29.
Beliau berkata, gambaran ngeri itu kekal segar dalam ingatannya setiap kali menyertai misi kemanusiaan bersama pasukan tersebut.
“Saya telah mengikuti tiga misi ke Syria, pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021, disusuli pada 2023 dan awal 2024 selepas pembebasan Syria. Namun, misi terakhir benar-benar menguji emosi apabila melihat sendiri kesan peperangan yang menghancurkan kehidupan rakyat.

“Misi kali ini paling memberi kesan kerana kemusnahan berlaku di seluruh Syria, bukan setakat di utara seperti sebelum ini. Banyak bangunan musnah dan ramai masih tinggal dalam khemah sejak tujuh, lapan tahun,” katanya.
Walaupun berdepan kemiskinan dan kekurangan, Zahid kagum dengan ketabahan serta kemurahan hati rakyat Syria yang tetap teguh menghadapi hidup.
“Rakyat Syria sangat baik walaupun hidup susah. Mereka suka membantu dan berkongsi apa saja yang mereka ada, kadang beri buah, kadang beri roti walaupun mereka sendiri pun tak cukup makan,” ujarnya.

Sebagai seorang ayah, Zahid mengakui pengalaman itu amat menginsafkan apabila melihat penderitaan keluarga yang membesarkan anak dalam serba kekurangan.
“Saya boleh bayangkan perasaan seorang ibu bila anaknya tak cukup makan, tak ada pakaian dan tinggal dalam khemah. Bila tengok mata budak-budak tu, saya nampak kesedihan yang mendalam,” katanya sebak.
Beliau berkata pengalaman itu membuatkannya lebih menghargai nikmat keamanan dan kesejahteraan di tanah air.
“Kita di Malaysia sangat beruntung. Bila tengok keadaan mereka, saya rasa sangat bersyukur dengan nikmat yang kita ada,” katanya.
Sementara itu, seorang warga Syria, Sheikh Mustafa Sheikh Yusef, 42, yang telah 12 tahun menetap di Malaysia, meluahkan penghargaan mendalam kepada rakyat negara ini atas keprihatinan berterusan terhadap nasib rakyat Syria.

“Wallahi, rakyat Malaysia nombor satu bantu Syria. Sekarang sudah ada Kampung Syria Care, sekolah dan rumah hasil sumbangan Malaysia. Bantuan itu beri kehidupan baru kepada anak yatim dan keluarga miskin,” kata guru al-Quran itu penuh terharu.
Beliau turut mendoakan agar ukhuwah dan semangat kemanusiaan antara kedua-dua negara terus kukuh.
“Semoga Allah membalas jasa rakyat Malaysia dan mempertemukan kita di syurga bersama Rasulullah SAW serta orang-orang miskin yang sabar,” katanya.
Program ‘Warm Their Winter’ bagi membantu rakyat Syria menghadapi musim sejuk berlangsung hingga Ahad ini di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam, dengan penyertaan lebih 830 sukarelawan daripada institusi pengajian tinggi, pusat tahfiz dan pertubuhan masyarakat.




