ad

Kaedah baharu saman trafik, bayar awal dapat diskaun hingga 50 peratus

22 Okt 2025, 10:11 AM
Kaedah baharu saman trafik, bayar awal dapat diskaun hingga 50 peratus

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pemberian diskaun saman kesalahan jalan raya berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan kaedah pembayaran kompaun the less you delay, the less you pay, bermula 1 Jan 2026.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kaedah yang menawarkan kadar kompaun lebih rendah bagi bayaran awal itu bakal dilaksanakan berikutan wujud perbezaan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menimbulkan kekeliruan serta persepsi seolah-olah pelaksanaan undang-undang tidak seragam.

Beliau berkata keputusan berkaitan pelaksanaan prinsip berkenaan dibuat Jemaah Menteri pada 17 Okt lepas.

“Hal ini kerana pemberian diskaun saman berasaskan program adalah tidak adil kepada golongan (pengguna) yang bertanggungjawab dan membayar saman mereka lebih awal,” katanya pada sidang media Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Loke berkata berdasarkan prinsip itu, orang ramai yang menyelesaikan kompaun dalam tempoh satu hingga 15 hari atau kurang daripada 15 hari akan diberikan pengurangan 50 peratus, bagi tempoh 16 hingga 30 hari pengurangan 33 peratus manakala kadar maksium dikenakan bagi mereka yang menyelesaikan kompaun dalam tempoh 31 hingga 60 hari.

“Bagi 61 hari ke atas, maka tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dilaksanakan terhadap pemilik kenderaan tersebut. Walau bagaimanapun, kadar insentif ini tidak terpakai bagi kategori kesalahan tidak boleh dikompaun ataupun Non-Compoundable seperti tiada insurans, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan mempamerkan LKM palsu,” katanya.

Menurut Loke, dalam tempoh peralihan pelaksanaan prinsip itu antara November hingga akhir Disember ini, orang ramai boleh menjelaskan saman JPJ dan PDRM sedia ada pada kadar pengurangan antara 50 hingga 70 peratus bermula 1 Nov hingga 30 Dis ini.

“Selepas tempoh ini, prinsip the less you delay, the less you pay akan dipatuhi sepenuhnya dan tiada pengurangan ditawarkan untuk saman-saman yang tidak dibayar,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata setakat ini sebanyak RM640 juta saman tertunggak telah dikutip di bawah tawaran diskaun dan kempen khas PDRM antara 2022 hingga September tahun ini.

Beliau berkata masih terdapat saman tertunggak berjumlah RM6.6 bilion.

“Lepas daripada ini, saya percaya kedua-dua kementerian ini khususnya agensi JPJ dan Trafik (PDRM) mereka akan duduk dan tengok balik bagaimana langkah penguatkuasaan ke atas pihak yang gagal membuat pembayaran.

“Jadi dari sudut kita (PDRM), kita dah cuba sedaya upaya menjalankan kempen jalan raya, mengingatkan pengguna, menjadi pengguna berdisiplin, tertib, mematuhi undang-undang namun kedudukan tunggakan saman itu relatifnya masih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA