ad

RM7 bilion untuk Sabah bukti komitmen Kerajaan Madani perkasa pembangunan seimbang

22 Okt 2025, 9:19 AM
RM7 bilion untuk Sabah bukti komitmen Kerajaan Madani perkasa pembangunan seimbang

SHAH ALAM, 22 OKT: Sabah menerima peruntukan pembangunan hampir RM7 bilion menerusi Belanjawan 2026, menjadikannya negeri dengan peruntukan tertinggi di seluruh negara, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani memastikan Sabah terus menikmati pembangunan seimbang dari segi infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Di bawah Belanjawan 2026, kita telah mengambil kira keperluan Sabah dan tuntutan kerajaan negeri. Peruntukan pembangunan mencecah RM7 bilion, tertinggi berbanding semua negeri lain di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Anwar berkata demikian ketika sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan Madani Berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan itu mengambil kira keperluan semasa dan tumpuan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi, termasuk Projek Pusat Jantung Sabah, Lebuhraya Pan Borneo fasa 1B, serta projek air Sabah yang dijangka siap tahun depan.

“Projek-projek ini akan memberi impak besar kepada infrastruktur dan ekonomi Sabah, khususnya dalam memperkukuh rangkaian pengangkutan serta memastikan keperluan asas seperti bekalan air dapat diselesaikan,” jelasnya.

Anwar menegaskan peningkatan peruntukan berkenaan membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani untuk memastikan Sabah terus menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negara, sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut yakin pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah RMK-13 akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, memperkukuh sektor pelaburan dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah secara menyeluruh.