ad

MA63: 13 tuntutan diselesaikan, Kerajaan Madani perkukuh autonomi Sabah

22 Okt 2025, 8:54 AM
MA63: 13 tuntutan diselesaikan, Kerajaan Madani perkukuh autonomi Sabah

SHAH ALAM, 22 OKT: Kerajaan Madani terus membuktikan komitmen dalam merealisasikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila berjaya menyelesaikan 13 perkara utama, termasuk penyerahan kuasa kawalan elektrik sepenuhnya kepada Kerajaan Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan itu menandakan satu kemajuan besar dalam pelaksanaan MA63 serta menunjukkan kesungguhan kerajaan mempertahankan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam perjanjian bersejarah berkenaan.

“Setakat ini, kerajaan Madani telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963. Sebanyak 13 tuntutan telah diselesaikan, termasuk penyerahan kuasa kawalan elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. kepada Kerajaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan Madani Berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memainkan peranan penting dalam menyelaras penyelesaian isu berbangkit berkaitan hak Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri turut menjelaskan walaupun Sabah kini memiliki kuasa penuh terhadap kawalan elektrik, Kerajaan Persekutuan tetap memperuntuk RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan dan kestabilan bekalan tenaga di negeri berkenaan.

Beliau menegaskan langkah itu mencerminkan semangat kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri, sekali gus memperkukuh autonomi Sabah serta mempercepat pembangunan sektor tenaga di bawah pentadbiran tempatan.