ad

Pelajar 14 tahun didakwa bunuh rakan sekolah diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

22 Okt 2025, 6:18 AM
Pelajar 14 tahun didakwa bunuh rakan sekolah diperintah jalani pemeriksaan psikiatri

PETALING JAYA, 22 OKT: Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Amira Sariaty Zainal selepas membenarkan permohonan peguam Anwar Ezzad Zainal yang mewakili tertuduh.

Peguam Kitson Foong, selaku sahabat mahkamah (amicus curiae), memaklumkan permohonan dibuat di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah demi kepentingan tertuduh.

“Permohonan ini memastikan perlindungan kepada tertuduh daripada mencederakan diri sendiri sekiranya disahkan menghidap penyakit.

“Laporan psikiatri ini mestilah menilai kecergasan tertuduh sama ada mampu membuat pengakuan dan memahami prosiding. Paling penting keadaannya ketika melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Pagi tadi, pelajar lelaki terbabit didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh lelaki berusia 14 tahun itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh pelajar wanita terbabit di tandas pelajar perempuan aras bawah sekolah menengah berkenaan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit bersalah boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.

Menerusi prosiding dijalankan secara tertutup itu, mahkamah menetapkan 21 November hadapan untuk sebutan semula kes.