SHAH ALAM, 22 OKT: Pengalaman perjalanan lebih mudah dan efisien menanti pengguna Rapid KL apabila perkhidmatan On-Demand disepadukan kepada satu aplikasi tunggal serta melibatkan peluasan zon secara berperingkat bermula bulan depan.
Langkah strategik itu menyaksikan tiga aplikasi sedia ada iaitu Mobi, Trek Rides dan Kummute, digabungkan dalam satu aplikasi baharu dikenali sebagai Rapid On-Demand, sekali gus memudahkan urusan tempahan dan meningkatkan keselesaan pengguna.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pendekatan itu memberi impak besar kepada sistem perkhidmatan kerana pengguna tidak lagi perlu memuat turun aplikasi berasingan mengikut zon seperti sebelum ini.
“Dengan aplikasi tunggal ini, proses tempahan menjadi lebih ringkas, pantas dan konsisten di semua kawasan liputan.
"Ini membantu mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan pengalaman pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fasa pertama penyeragaman bermula 1 November ini melibatkan zon yang sebelum ini menggunakan aplikasi Mobi dan Trek Rides, manakala Fasa kedua membabitkan zon Kummute pada pertengahan bulan sama.
Serentak itu, Rapid KL turut memperluas liputan zon melibatkan 12 zon gabungan baharu dengan 50 van keseluruhan termasuk ke kawasan tumpuan seperti Mont Kiara, Taman TAR, Kelana Jaya, Subang Jaya dan Puchong Jaya.
Antara penambahbaikan zon termasuk gabungan laluan Stesen Semantan – Menara DBKL dan KTM Segambut serta peluasan dari stesen UPM ke UNITEN serta dari Terminal Puchong Utama ke Puchong Jaya.
Tambah Ku Jamil, peluasan liputan penting bagi meningkatkan kesalinghubungan dan memastikan pengguna dapat bergerak ke lebih banyak destinasi tanpa perlu menukar perkhidmatan.
“Langkah ini menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan yang lebih efisien dan mesra pengguna,” katanya lagi.
Aplikasi Rapid On-Demand boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.
Pengguna sedia ada dinasihat mengemas kini aplikasi masing-masing sebelum 1 November. Promosi tambang RM1 masih diteruskan.