SHAH ALAM, 22 OKT: Kementerian Komunikasi, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), akan memperketat garis panduan pendaftaran kad SIM prabayar bagi membendung penyalahgunaan akaun media sosial dalam kegiatan penipuan serta ugutan dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata langkah itu diambil susulan cabaran yang dihadapi pihak berkuasa untuk mengesan identiti sebenar individu di sebalik akaun palsu, khususnya apabila kandungan palsu dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Apabila seseorang menggunakan AI untuk mencipta kandungan palsu, agak sukar untuk mengenal pasti siapakah individu sebenar di belakang akaun e-mel atau media sosial yang digunakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sungai Petani di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, garis panduan yang diguna pakai sejak 2017 membenarkan setiap individu mendaftar sehingga lima kad SIM prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi. Namun, SKMM kini menjalankan siasatan awam (public inquiry) untuk meneliti kemungkinan pengurangan had tersebut.
“Cadangan baharu menetapkan bahawa setiap warganegara hanya boleh memiliki maksimum dua kad SIM prabayar bagi setiap telco, manakala warga asing hanya dibenarkan mendaftar dua kad SIM sahaja secara keseluruhan, tanpa mengira telco yang digunakan,” katanya.
Nie Ching menjelaskan, langkah itu dijangka dapat mengurangkan penyalahgunaan kad SIM prabayar bagi tujuan pendaftaran akaun palsu, penipuan serta ugutan dalam talian. Siasatan awam berhubung perkara tersebut dijangka selesai pada penghujung November, manakala pelaksanaan garis panduan baharu dirancang pada suku pertama tahun depan.
Beliau turut mendedahkan kes penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform TikTok yang melibatkan penggunaan imej Yang di-Pertuan Agong tanpa kebenaran. Siasatan mendapati akaun berkenaan didaftarkan menggunakan maklumat milik warga asing, sekali gus menyukarkan tindakan lanjut oleh Pejabat Peguam Negara kerana identiti sebenar individu di sebalik akaun tersebut gagal dikenal pasti.