Polis rampas 5,000 kad SIM, 50 SIM Box dalam serbuan jenayah siber di Kajang

31 Jan 2026, 3:03 AM
Polis rampas 5,000 kad SIM, 50 SIM Box dalam serbuan jenayah siber di Kajang

SHAH ALAM, 31 JAN: Polis merampas 5,000 kad SIM dan 50 peralatan SIM Box dalam serbuan di Kajang, baru-baru ini, yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian dan jenayah siber terancang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan operasi itu dijalankan selepas pihaknya mengesan penggunaan kad SIM terbabit bagi mewujudkan akaun palsu dan memintas sistem keselamatan platform digital untuk tujuan penipuan.

“Kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing membolehkan penjenayah mencipta akaun palsu untuk menjalankan penipuan dan jenayah dalam talian, sekali gus membahayakan pengguna.

“Kegiatan ini juga merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara. Penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM dalam menjamin keselamatan digital,” menurut kenyataan.

SKMM berkata siastaan dilakukan pihaknya bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Bagi kesalahan bawah seksyen 239 Akta 588, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

“SKMM akan terus bekerjasama rapat dengan polis dan agensi penguatkuasaan lain bagi menjamin keselamatan negara, mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi, serta memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan,” katanya.